Riadah Berbasikal Keputeraan membuktikan bukan hanya sekadar aktiviti kesihatan diri malah mampu menyatupadukan perpaduan dari segenap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.
Apa yang paling bermakna bagi rakyat dan penduduk di negara ini ialah keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengetuai riadah berkenaan dan bercemar duli berkayuh basikal bersama lebih 1,000 pekayuh basikal terdiri daripada kanak-kanak hinggalah ke warga emas yang setentunya menjadi satu catatan sejarah tersendiri yang diadakan secara besar-besaran di sini.
Semangat kesukanan yang tinggi dan penglibatan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menunjukkan baginda merupakan ikon dalam menjana dan menggerakkan aktiviti sukan untuk sama-sama mempraktikkan ke arah kehidupan bergerak aktif dan sihat.
Begitu juga penglibatan yang ditunjukkan daripada paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berserta kerabat diraja yang lain turun padang dalam memeriahkan aktiviti sihat itu.
Keberangkatan Kebawah DYMM di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof serta Menteri-Menteri Kabinet yang lain.