Program-program keutamaan di dalam dasar ini dibentuk untuk mempromosikan keselamatan, kedayatahanan dan kemakmuran ekonomi dan alam sekitar melalui pendekatan 'whole-of-nation" dalam melindungi kesejahteraan masyarakat melalui tujuh program keutamaan yang mengandungi objektif-objektif selaras dengan sasaran Wawasan 2035.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi,
6. Dalam usaha Kementerian ini bagi memantapkan perpaduan masyarakat Jabatan-Jabatan Daerah secara berterusan melaksanakan tindakan-tindakan bersesuaian bagi mengukuhkan Insitusi Mukim dan Kampong. Usaha-usaha ini termasuklah;
a. Pertama, projek Rezoning Mukim dan Kampong. Projek ini telahpun dilaksanakan bagi kawasan-kawasan di Kampong Ayer dan juga bagi mukim dan kampong di kawasan darat secara berperingkat-peringkat. Sebahagian besar jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampong yang terlibat dalam projek re-zoning adalah dalam proses pengisian jawatan penghulu mukim dan ketua kampong tersebut. Manakala bagi kawasan yang masih memerlukan perubahan sempadan, perkara ini adalah dalam proses penyelarasan bersama agensi yang berkepentingan. Sesuai dengan tujuan projek re-zoning ini, maka ianya akan dapat membantu Penghulu Mukim dan Ketua Kampong meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pentadbiran mukim-mukim dan kampong-kampong dengan jumlah penduduk yang bersesuaian.
b. Kedudukan Negara yang berhadapan dengan Covid-19 sehingga masa ini, telah menjejaskan sedikit rancangan pengisian jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampong. Dari itu, aplikasi E-Undi yang telah dilancarkan pada 2hb Oktober 2021 bertujuan sebagai tambahan bagi kaedah-kaedah pengundian yang sedia ada yang boleh membantu proses pengundian dan pemilihan calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampong berjalan lancar.
c. Alhamdulillah, dengan adanya aplikasi ini disamping memudahkan cara mengundi secara 'online', aplikasi ini juga menyediakan maklumat dan keterangan serta manifesto calon-calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampong yang setentunya memudahkan penduduk Mukim dan Kampong mengenali calon pemimpin masing-masing. Aplikasi yang mula dilaksanakan pada bulan Disember 2021 ini, jelas memberi impak positif yang ketara iaitu dengan meningkatnya jumlah penyertaan pengundi dari kalangan belia yang mengundi menerusi sistem E-Undi iaitu dari 30% belia mengundi menggunakan kertas undi (ballot paper) kepada 54% dengan E-Undi. Kita percaya bilangan ini akan meningkat dari masa ke semasa.
d. Berasaskan data yang ada, kita juga bersyukur bahawa dari seramai calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampong yang telah di pilih, calon-calon yang telah diperakukan untuk pemilihan dan calon-calon dalam proses untuk diperakukan, terdapat seramai 53 atau 73% adalah mereka yang berumur di bawah 50 tahun. Dari segi kelayakan akademik pula, seramai 38 orang adalah graduan dari Institusi Pengajian Tinggi. Dengan adanya peningkatan profil calun-calun ini, diharap Penghulu Mukim dan Ketua Kampung berkenaan akan dapat menerajui kepimpinan sesebuah mukim atau kampung dengan lebih berwibawa dan berusaha untuk memajukan sosio-ekonomi mukim dan kampung di samping berusaha untuk memupok dan mengujudkan masyarakat yang hidup bersatu padu dan memeduli hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan anak buah mukim dan kampung.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
7. Didalam usaha Kementerian bagi memangkin sosio-ekonomi, Lembaga Bandaran dan Jabatan-Jabatan Daerah terus berusaha bagi;
a. Meneroka rancangan-rancangan yang boleh membantu dan memberikan peluang kepada peniaga-peniaga micro, kecil dan sederhana mendapatkan mata pencarian melalui aktiviti perniagaan. Disamping melaksanakan rancangan menyediakan tempat-tempat berniaga yang sudah dikeluarkan Request For Proposal (RFP) beberapa tempat lain juga sudah dikenalpasti untuk dimajukan.
b. Sektor perekonomian di peringkat Mukim dan Kampong pula agak terkesan sejak penularan Covid-19. Ianya dapat dilihat dari menurunnya pendapatan Satu Kampong Satu Produk (1K1P) dari $802,260 pada tahun 2019 kepada $710,172 pada tahun 2020 dan $556,842 pada tahun 2021. Namun pendapatan purata 19 orang pengusaha yang terlibat dalam projek transformasi 1K1P dalam tahun 2021 telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka sebanyak dan melebihi 106% sehingga ada yang memperolehi pendapatan sebanyak $5,000 ke $7,000 sebulan. Kita bersyukur dan berbangga kerana sebahagian dari mereka telah membuat pendekatan berani dan dengan bijak menukar cabaran-cabaran Covid-19 kepada peluang. Dari itu, kita secara konsisten akan mengorak langkah bersama rakan-rakan strategik bagi meningkatkan lagi kemajuan produk-produk kampong dengan harapan bagi menembusi pasaran serantau. Insha Allah.
c. Selain daripada menyediakan prasarana bagi memangkin sosio-ekonomi, Kementerian ini juga akan memberikan fokus kepada tunggakan cukai bangunan yang tinggi dan meningkat dari tahun ke setahun. Kementerian ini akan melaksanakan tindakan yang lebih berkesan dalam mengurangkan dan mengelakkan tunggakan. Di samping meneruskan inisiatif-inisiatif yang sudah dilaksanakan sebelum ini, Kementerian ini akan berusaha meningkatkan dan memperkesankan lagi tindakan bagi membuat tuntutan melalui prosedur mahkamah. Kementerian ini juga di dalam perbincangan dengan agensi-agensi Kerajaan yang lain untuk mempersyaratkan bagi pembayaran cukai bangunan dilunaskan terlebih dahulu sebelum beberapa jenis permohonan diluluskan. Di dalam pada itu, Kementerian ini juga sedang dalam peringkat perlaksanaan Projek Municipal Property Database (EP-TAX) di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke 11 iaitu bagi mengadakan satu sistem database bagi maklumat hartanah-hartanah di kawasan perbandaran dan seterusnya membolehkan pemilik-pemilik hartanah membayar cukai bangunan secara online melalui sistem berkenaan.
8. Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, berdasarkan peruntukan dan inisiatif-inisiatif yang telah pun dibentangkan, dan mengambil kira suasana persekitaran yang sentiasa berubah selaras dengan kehendak dan keperluan semasa maka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya, akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan yang tinggi dan menjana ekonomi yang maju serta berdayatahan dan dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang dan seterusnya merealisasikan matlamat negara khususnya dalam menjayakan Wawasan 2035.
Sekianlah sahaja Yang Berhormat Pehin Pengerusi.
Wabilahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.