Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

SISTEM DAN APLIKASI MUDAH ALIH E-UNDI BAGI MAJLIS PENGUNDIAN DAN PEMILIHAN CALON-CALON PENGHULU MUKIM DAN KETUA KAMPONG (PMKK)

IMG_5935.jpg

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telahpun melancarkan "Sistem dan Aplikasi Mudah Alih E-Undi PMKK" pada petang ini dalam satu Majlis Pelancaran yang diadakan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.  

Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya melancarkan sistem dan aplikasi E-Undi tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Turut hadir ialah Awang Md. Amir Hairil bin Awang Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang), Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Yang Mulia Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Awang Azmi bin Haji Hafneh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan). Majlis tersebut turut dihadiri secara maya oleh Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dari kalangan Penghulu Mukim dan Ketua Kampong dan Ketua-Ketua Jabatan dibawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Sistem E-Undi PMKK ini dibangunkan bertujuan sebagai penambahbaikan proses Pengundian dan Pemilihan Calon-Calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampong dengan menggunakan sistem pengundian secara elektronik (on-line voting) sebagai alternatif tambahan kepada kaedah yang sedia ada menggunakan kaedah konvensional (manual).

Pembangunan sistem pengundian ini telah mengambilkira proses pengundian, prosedur pembuangan serta pengiraan undi semasa Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampong yang pada masa ini dilaksanakan secara manual. Sistem ini mempunyai tiga (3) tatacara pengundian iaitu menggunakan aplikasi mudah alih E-Undi (online voting), tablet (offline voting) dan kertas undi (ballot papers) di mana hasil pengundian disimpan di dalam sistem berkomputer untuk proses penganalisaan dan mengeluarkan keputusan dengan lebih efisen dan cepat.

Dengan pelancaran sistem dan Aplikasi mudah alih E-Undi PMKK ini, penduduk-penduduk kampong bolehlah mendaftar sebagai pengundi dengan menggunakan Aplikasi Mudah Alih E-Undi PMKK dengan memuat turun dari "App Store" atau "Google Play". Aplikasi mudah alih E-Undi PMKK ini boleh diakses menggunakan akaun e-Darussalam. Pendaftaran ini dibukakan sepanjang masa dimana senarai pengundi yang berdaftar akan disemak setiap tiga (3) bulan bagi memastikan kelayakan sebagai pengundi. Sementara itu, pengundi yang telah mendaftar yang berpindah rumah diperlukan untuk mengemaskini dan mendaftar alamat rumah baru di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan seterusnya mendaftar semula sebagai pengundi di kampong barunya. Pendaftaran pengundi masing-masing bagi sistem e-Undi menggunakan aplikasi mudah alih (online voting) dan pengundian menggunakan tablet (offline voting) akan ditutup 24 jam sebelum tarikh pengundian dan pemilihan calon-calon Penghulu Mukim dan Kampong bermula. Manakala bagi pengundian menggunakan kertas undi (ballot papers), pendaftaran adalah dibuka sehingga pengundian ditutup (iaitu pada hari terakhir mengundi) sepertimana yang berjalan sebelum ini. Tarikh-tarikh pengundian calon-calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampong akan dimaklumkan kemudian dimana maklumat berkenaan boleh diperolehi melalui permakluman didalam aplikasi mudah alih berkenaan dan juga Surat Pemberitahuan yang akan dikeluarkan oleh Jabatan-Jabatan Daerah.

Dengan inisiatif Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri ini, adalah diharapkan lebih ramai lagi penduduk kampong akan turut mengambil bahagian untuk mengundi Calon-Calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampong. Penduduk-penduduk kampong yang terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam yang berumur tidak kurang lapan belas (18) tahun adalah dialu-alukan untuk mendaftar dan seterusnya mengundi Calon-Calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampong melalui kaedah-kaedah yang dinyatakan bagi menentukan pemimpin diperingkat akar umbi di Mukim dan Kampong masing-masing. 

 


IMG_5904.JPGIMG_5903.JPGIMG_5926.JPG

Created at 02/10/2021 14:12 by Syamsul Fikri Bin Hj Takong
Last modified at 02/10/2021 15:05 by Syamsul Fikri Bin Hj Takong