Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

MAJLIS PELANCARAN KEMPEN KEBERSIHAN DAN PENGHIJAUAN KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI DAN JABATAN-JABATAN DI BAWAHNYA

IMG_7330.JPG

Isnin, 08 Mac 2021 - Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri hadir bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kebersihan dan Penghijauan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya bertempat di bangunan 'BIBD Connects', Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan.

Kempen Kebersihan dan Penghijauan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya ini diadakan bagi mendokong hasrat Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam yang telah melancarkan 'Garispanduan Protokol Hijau' pada 30 Januari 2021. Protokol Hijau adalah satu garispanduan bagi sektor Kerajaan untuk melaksanakan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BNCCP) dengan menggariskan bahagian-bahagian yang mempunyai peluang-peluang amalan hijau (green practice opportunities) dalam operasi harian, seperti tenaga dan air, pengurusan sampah dan penggunaan kertas, di mana seterusnya akan mendorong dalam amalan-amalan hijau bagi mengatur acara-acara kebangsaan dan menangani pokok yang terjejas daripada projek-projek Kerajaan. Kemuncak Protokol Hijau ialah menjadikan premis Kerajaan sebagai 'Zon Bebas Botol Plastik' dan penanaman sehingga 26,000 pokok menjelang penghujung tahun 2021.

Aktiviti-aktiviti Kempen Kebersihan dan Penghijauan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya ini akan diadakan sepanjang tahun di ke empat-empat daerah. Bagi Jabatan-Jabatan Daerah dan Jabatan-Jabatan Bandaran, akan mengadakan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada kempen kebersihan dan penghijauan di bawah kawalan masing-masing seperti penanaman pokok, bunga hiasan dan lanskap; pengurusan dan pembuangan sampah; dan pembersihan longkang-longkang. Manakala, Jabatan-Jabatan lain di bawah Kementerian ini akan melaksanakan kempen kebersihan dan penghijauan di kawasan pejabat dan persekitarannya.

Majlis Pelancaran Kempen Kebersihan dan Penghijauan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya yang diadakan pada pagi ini diselajurkan dengan Majlis Pelancaran Kesedaran Kebersihan dan Penanaman Pokok di Pusat Bandar yang diungkayahkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan.

Majlis pada pagi ini dimulakan dengan tayangan video mengenai dengan pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dan diteruskan dengan kerja-kerja pembersihan oleh pemilik-pemilik dan penyewa-penyewa bangunan di Jalan Roberts dan beberapa bangunan komersial sekitarnya. Kempen ini juga mendokong Matlamat Perancangan Strategik, Strategi dan Pelan Tindakan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan bagi memajukan kawasan Bandar Seri Begawan sebagai sebuah Bandar Dalam Taman (City in a Garden) dan mempunyai alam sekitar yang bersih dan bebas dari pencemaran. Dalam pada itu, melalui pelaksanaan kempen ini, ianya akan dapat mencapai matlamat dan hasrat pihak Kerajaan khususnya untuk memupuk kesedaran dan tanggungjawab tentang nilai kebersihan dan keperluan mewujudkan persekitaran yang bersih dan cantik di seluruh negara terutama sekali di persekitaran Ibu Negara kita Bandar Seri Begawan.

Aktiviti-aktiviti dan kawasan-kawasan yang terlibat dalam kempen kesedaran kebersihan dan penanaman pokok ini adalah di sekitar Pusat Bandar seperti berikut:-

  • Aktiviti Penanaman Bunga Hiasan dan Pembersihan Kawasan dan Kios di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah;
  • Aktiviti Pembersihan Kawasan, Longkang-Longkang dan Jalanraya di Jalan Pemancha;
  • Aktiviti Pembersihan Kawasan dan Penanaman Bunga Lanskap di Bangunan BIBD;
  • Aktiviti Pembersihan Kawasan dan Dinding Bangunan dan pemasangan papan tanda maklumat di Bangunan Dar Takaful;
  • Aktiviti Membuang Pokok-Pokok Liar, Pembersihan Bangunan dan Longkang-Longkang di Jalan Roberts and Jalan McArthur;
  • Aktiviti penanaman sebanyak 29 anak pokok jenis 'Bucina Green' di sekitar kawasan Jalan Residency yang telah disumbangkan oleh Bank Islam Brunei Berhad (BIBD) sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Turut hadir pada Majlis tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Ahli-Ahli Lembaga Bandaran Bandar Seri Begaawn, Ketua-Ketua Jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Pegawai-Pegawai Kanan serta Pegawai dan Kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri  dan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan.

IMG_7348.JPGIMG_7366.JPG IMG_7415.JPG

Created at 08/03/2021 15:35 by Hasrom Haji Mohammad Husain
Last modified at 08/03/2021 15:37 by Hasrom Haji Mohammad Husain