Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

MAJLIS PENUTUP BENGKEL TRANSFORMASI SATU KAMPUNG SATU PRODUK (1K1P) DENGAN KERJASAMA BANK ISLAM BRUNEI DARUSSALAM

IMG_5565.jpg

Majlis Penutup bagi Bengkel Transformasi Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku tetamu kehormat pada 08hb. Ogos 2020 bertempat di Tingkat 2, Bangunan PGGMB, Jalan Kianggeh, Bandar Seri Begawan.

Bengkel ini adalah sebahagian daripada lima (5) fasa utama bagi Kursus Transformasi 1K1P 2020 iaitu satu usaha dan inisiatif Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam bagi menyediakan program latihan keusahawanan yang khusus kepada usahawan-usahawan di bawah program 1K1P Negara Brunei Darussalam. Fasa I — Transformasi 1K1P Bootcamp telah diadakan pada 27 Julai hingga 30 Julai 2020 dengan penglibatan seramai 35 orang usahawan 1K1P. Di dalam Fasa I, para peserta telah didedahkan kepada pengetahuan dan latihan bagi meningkatkan kemahiran dalam memahami kekuatan dan kelemahan produk masing­-masing termasuklah menggunakan pendekatan Analisa SWOT.

Seterusnya seramai 19 orang usahawan 1K1P dari kalangan peserta kursus Fasa I telah terpilih bagi meneruskan latihan di dalam Fasa II — Bengkel Transformasi 1K1P bermula pada 03 Ogos hingga 07 Ogos 2020. Di dalam Fasa II, para peserta telah dilatih untuk menyediakan perancangan kewangan, strategi pemasaran dan jualan, penjenamaan, pembungkusan dan label serta membangunkan semula produk masing-masing.

Kursus yang dilaksanakan dengan konsep akademi (classroom) dan marketplace juga dihasratkan untuk menghasilkan produk-produk 1K1P yang Iebih berkualiti dan berdayamaju serta mempunyai pembungkusan produk yang menarik dan memenuhi piawaian yang telah ditetapkan sebagai Produk Premium 1K1P.

Pada majlis ini, seramai 35 orang usahawan 1K1P yang menjadi peserta bagi Fasa I — Transformasi 1K1P Bootcamp telah menerima sijil penyertaan masing-masing. Penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta dan pelancaran Produk Premium 1 K1 P (Prototype) telah disempurnakan oleh tetamu kehormat. Majlis ini juga menyaksikan tandatangan perjanjian persefahaman (memorandum of understanding) di antara pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bersama Bank Islam Brunei Darussalam.

Majlis ini turut dihadiri oleh Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), pegawai-pegawai daerah, pemangku-pemangku pegawai daerah, pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan pegawai­pegawai kanan Bank Islam Brunei Darussalam.

Ucapan Setiausaha Tetap Majlis Penutup Bengkel Transformasi 1K1P.pdf

Created at 10/08/2020 11:28 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 10/08/2020 11:28 by Kartini Binti Yakub