Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

KEBENARAN PEMBUKAAN SEMULA PERHIDMATAN PENYAJIAN MAKANAN (DINE-IN) DI PREMIS-PREMIS MAKANAN DAN PEMBUKAAN SEMULA GERAI-GERAI MAKAN DI BAWAH KAWALAN JABATAN-JABATAN DAERAH DAN JABATAN-JABATAN BANDARAN BERMULA 16 MEI 2020

Siaran Akhbar De-Escalation RESTORAN and GERAI 14 Mei 2020-1.jpg

1. Sukacita merujuk pengumuman Sidang Media mengenai premis-premis makanan iaitu restoran, kedai makan, kedai minum, kafe, food court, gerai makan dan seumpamanya yang mana tidak dibenarkan untuk menyajikan makanan di premis-premis dan hanya dibenarkan untuk menyediakan makanan untuk dibawa pulang saja (takeaway) dan penutupan beberapa buah gerai, tamu dan pasar di Sidang Media pada 18 dan 26 Mac serta 06 April 2020.

2. Sehubungan dengan itu, sukacita memaklumkan bahawa berasaskan kepada kenyataan Kementerian Kesihatan mengenai dengan langkah-langkah pelaksanaan pelan de-escalation, maka bermula pada hari Sabtu, 16 Mei 2020, semua premis makanan termasuk restoran, kedai makan, kedai minum, kafe, dan food court adalah dibenarkan untuk menyajikan makanan di premis-premis (dine-in). Manakala semua gerai makan di bawah kawalan Jabatan-Jabatan Daerah, Jabatan-Jabatan Bandaran dan Jabatan Belia dan Sukan yang sebelum ini ditutup akan dibuka semula mulai tarikh yang sama. Penutupan Tamu Mingguan seperti Tamuneka Kawasan Letak Kereta Pasarneka di Kuala Belait dan Tamu Tutong dan peniadaan gerai-gerai Ramadhan adalah masih berjalan.

3. Pembukaan perkhidmatan secara dine-in bagi premis-premis makanan seperti restoran, kedai makan, kedai minum, kafe, dan food court hendaklah mematuhi syarat-syarat berikut:-

3.1 Penyediaan makanan secara buffet adalah tidak dibenarkan;

3.2 Menghadkan jumlah pelanggan yang dibenarkan untuk dine-in dalam satu-satu masa kepada 30% sahaja dari jumlah kapasiti biasa (normal capacity) ruang duduk premis makanan berkenaan;

3.3 Pemeriksaan suhu badan hendaklah dilakukan sebelum memasuki premis makanan;

3.4 Orang ramai yang berhasrat untuk dine-in digalakkan untuk membuat tempahan tempat duduk terlebih dahulu;

4. Manakala, bagi gerai-gerai makan di bawah kawalan Jabatan-Jabatan Daerah, Jabatan-Jabatan Bandaran dan Jabatan Belia dan Sukan yang akan dibuka semula hendaklah mematuhi syarat-syarat berikut:-

4.1 Menghadkan jumlah pelanggan yang dibenarkan untuk dine-in dalam satu-satu masa kepada 50% sahaja dari jumlah kapasiti biasa ruang duduk (normal capacity) gerai berkenaan;

5. Sebagai tambahan, pembukaan premis makan secara dine-in dan gerai-gerai makan hendaklah juga mematuhi syarat-syarat berikut:-

5.1  Pengendali atau Pengusaha premis makanan dan gerai-gerai makan dikehendaki untuk mendapatkan kod QR Bruhealth yang khusus bagi premis mereka dan seterusnya mencetak kod QR tersebut dan dilekatkan di kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pelanggan sebelum masuk dan sejurus sebelum meninggalkan premis;

5.2  Para pelanggan hendaklah mempunyai kod acara yang diperolehi melalui aplikasi Bruhealth sebelum mengunjungi premis makanan dan gerai-gerai makan yang ingin dituju;

5.3 Memastikan penjarakan fizikal dan sosial termasuk pelaksanaan arahan-arahan yang dibuat oleh pihak berkewajipan seperti:-

5.3.1  Premis makanan dan gerai makan untuk mempamerkan notis jumlah maksimum kapasiti dine-in dalam satu masa di tempat yang bersesuaian;

5.3.2  Premis makanan dan gerai makan tidak dibenarkan untuk menambah kapasiti ruang duduk dine-in dari kapasiti biasa (normal capacity);

5.3.3  Premis makanan dan gerai makan untuk menyediakan ruang atau barisan khas untuk perkhidmatan takeaway;

5.3.4  Premis makanan dan gerai makan untuk menyediakan hand sanitisers;

5.3.5  Susun atur meja ruang dine-in yang bersesuaian bagi memastikan penjarakan fizikal;

5.3.6  Premis makanan dan gerai makan dikehendaki untuk mematuhi garis panduan dalam pembersihan dan sanitasi premis;

5.3.7  Digalakkan untuk memakai penutup hidung dan mulut (face mask).

5.4     Orang ramai yang mempunyai tanda-tanda jangkitan adalah dinasihatkan untuk tidak mengunjungi premis makanan dan gerai makan sehingga telah sembuh.

6. Mana-mana pengusaha-pengusaha premis makanan dan gerai-gerai makan yang didapati tidak mematuhi syarat-syarat yang disebutkan tadi, boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

7. Pengusaha-pengusaha premis makanan dan gerai-gerai makan adalah dipohonkan untuk memberikan kerjasama untuk mematuhi arahan-arahan yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan dari semasa ke semasa.

-TAMAT-

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri

Negara Brunei Darussalam

20 Ramadan 1441H / 14 Mei 2020M

Siaran Akhbar De-Escalation RESTORAN and GERAI 14 Mei 2020.pdf


Created at 12/06/2020 17:45 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 12/06/2020 17:46 by Kartini Binti Yakub