Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

KHEDN MENGADAKAN HARI TERBUKA

WhatsApp Image 2020-01-21 at 1.38.57 PM.jpeg

Bandar Seri Begawan, Sabtu, 18 Januari 2020 - Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri hadir di Hari Terbuka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya bertempat di The Mall, Gadong hari ini dan seterusnya melancarkan tiga inisiatif Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri iaitu laman web Satu Kampong Satu Produk, Logo INSAF dan Pembayaran Menggunakan Kad Debt/Kredit bagi Permohonan Dokumen Perjalanan.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa yang dibacakan oleh Pg Hj Md Hafizuddin bin Pg Hj Bakar, Pegawai Masjid Kg Belimbing Subok. Seterusnya ialah ucapan alu-aluan oleh Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. 

Hari Terbuka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Mohammad bin Pengiran Haji Osman@ Othman, Ketua Kampung Masjid Lama Pekan Mura, Sabun dan Pelumpong Zon 2, Daerah Brunei dan Muara yang juga selaku Ketua rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Seterusnya Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara melawat booth-booth pameran dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya di mana mereka berpeluang untuk berinteraksi dan bertanya sebarang pertanyaan secara langsung dengan pihak Kementerian dan Jabatan-Jabatan.

Majlis dihadiri oleh Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Awang Ajman bin Haji Meludin, Pemangku Setiausaha Tetap Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang); Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.

Hari Terbuka ini adalah anjuran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan julung-julung kali diadakan dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai dan merupakan platform bagi menyalurkan maklumat terkini serta pencerahan mengenai inisiatif-inisiatif dan perkhidmatan Jabatan-Jabatan kepada orang awam. Tujuan Hari Terbuka ini adalah bagi menghubungkan perkhidmatan awam dengan semua lapisan masyarakat. Ianya juga untuk memaklumkan orang ramai mengenai fungsi, peranan, tugas dan tanggungjawab, serta perkembangan terkini Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan dua belas jabatan di bawahnya. Inisiatif ini merupakan pendekatan strategik Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan adalah diharapkan akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan memperkenalkan dan mengetengahkan pelbagai inisiatif dan program Jabatan-Jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri kepada orang ramai, yang menjurus ke aah pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035 khususnya taraf hidup yang berkualiti tinggi.

Hari Terbuka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya akan berlangsung selama dua hari bermula hari Sabtu 18 Januari ini sehingga hari Ahad 19 Januari 2020 dan akan diadakan di The Mall Gadong. Hari Terbuka akan dibukakan kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 8 malam pada dua hari berkenaan.

Di antara perisian utama Hari Terbuka ini adalah pelancaran beberapa inisiatif pihak Kementerian oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri seperti laman web Satu Kampong Satu Produk (1K1P),  pelancaran Logo INSAF dan pelancaran pembayaran menggunakan kad debit/ kredit. 

Pameran juga diadakan di mana pelbagai maklumat akan dikongsikan serta acara menarik kepada orang awam khusus bagi memberi pengetahuan mengenai peranan, fungsi, perkhidmatan dan kemudahan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya yang disediakan kepada orang awam. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya akan mempamerkan fungsi, peranan dan perkhidmatan yang disediakan kepada orang ramai. Jabatan-Jabatan yang terlibat termasuk Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan juga dua belas jabatan di bawah Kementerian iaitu Jabatan-Jabatan Daerah-Daerah Brunei dan Muara, Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong; Jabatan-Jabatan Bandaran iaitu Bandar Seri Begawan, Kuala Belait dan Seria dan Tutong, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Buruh, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan. 

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri khususnya akan mempamerkan mengenai dengan hal ehwal Hiburan Awam dan Penerbitan. Manakala, Jabatan-Jabatan di bawah Kementerian akan lebih menjurus kepada inisiatif, program dan projek yang diungkayahkan yang sejajar dengan peranan strategik masing-masing. Maklumat-maklumat yang akan dikongsikan adalah selaras dengan pencapaian tiga teras strategik Kementerian iaitu i) Keselamatan dan Keamanan Masyarakat; ii) Pembangunan Sosio-Ekonomi; dan iii) Perpaduan Masyarakat.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah perkhidmatan permohonan dokumen perjalanan iaitu mendaftar dan membaharui passport dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Jabatan Buruh pula menyediakan tawaran bagi Lesen Agensi Pekerjaan (Kategori C).

Beberapa Jabatan akan mengadakan beberapa aktiviti sampingan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan akan mengadakan kuiz kepada pengunjung yang hadir dan seterusnya berpeluang untuk memenangi hadiah menarik. Jabatan Bomba dan Penyelamat juga membuat demonstrasi menyelamat mangsa seperti CPR. Manakala, Jabatan Penjara pula akan membuat demonstrasi sebat sivil dan syariah.

Juga akan diadakan adalah jualan satu kampong satu produk yang telah diberikan star rating daripada semua daerah seperti produk makanan, produk kraftangan dan lain-lain. Tambahan jua adalah produk-produk Rakan Seliaan yang akan dipamerkan pada Hari Terbuka tersebut.

Orang ramai adalah dialu-alukan hadir ke Hari Terbuka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya pada 18 hingga 19 Januari 2020 bermula jam 10 pagi hingga 8 malam di The Mall Gadong. Orang ramai disarankan untuk mengambil peluang dan kesempatan ini sebaik mungkin untuk berinteraksi dengan pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya dan seterusnya mendengar dan berkongsi maklumat khususnya berhubung perkhidmatan yang disediakan. Dengan adanya Hari Terbuka ini, orang ramai akan dapat mengetahui dengan lebih terperinci dan memberi maklumbalas kepada pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya. Adalah diharapkan agar orang ramai dapat bekerjasama dengan pihak Kementerian bagi memberi idea-idea baru yang bernas untuk tujuan kebaikan bersama selaras dengan misi Kementerian iaitu “Bekerjasama Dengan Masyarakat Untuk Keselamatan dan Keamanan”.


Teks Ucapan SUT Hari Terbuka KHEDN.pdf

Created at 21/01/2020 13:39 by Kartini Binti Yakub
Last modified at 21/01/2020 13:40 by Kartini Binti Yakub