Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

MAJLIS PERBARISAN DAN MAJLIS ANUGERAH PEKERJA CEMERLANG PERKHIDMATAN PENJARA SEMPENA MEMPERINGATI PENUBUHAN JABATAN PENJARA KE-65, 2019

IMG_3042.JPG


Tutong, 1 Mac 2019, Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan Upacara Perbarisan Sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penjara ke-65, 2019 . Majlis diadakan di Padang Kawad, Pusat Latihan, Jabatan Penjara.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di Majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.  Turut hadir Yang Mulia Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud Setiausaha Tetap ( Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang)  Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiasuaha Tetap ( Bandaran dan Daerah) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Tetamu kehormat dalam ucapannya berkata, semenjak penubuhannya dari 01 Mac 1954, Jabatan Penjara telah melahirkan beberapa orang pemimpin dikalangan anak-anak tempatan. Mereka-mereka ini telah banyak menyumbang tenaga dan fikiran sebagai asas kearah pencapaian mengembang majukan menjadikan Jabatan Penjara dapat berdiri sebanding dengan Institusi Penjara di luar Negara. Secara tidak langsung kita semua dapat bersama-sama memanfaatkan segala kemudahan yang ada pada masa ini.

Upacara Perbarisan pada hari itu diakhiri dengan bacaan Doa yang dibacakan oleh Pegawai  Pengiran Mohd Safuandi Shah bin Pengiran Haji Md Tahir. Tetamu Kehormat dan Para Jemputan seterusnya beredar ke Dewan Silaturrahim, Pusat Latihan, Jabatan Penjara bagi Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Penjara Tahun 2018.

Antara yang hadir di Majlis pagi itu ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan-Timbalan Ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Ketua-Ketua Cawangan daripada Agensi-agensi Kerajaan Daerah Tutong, Ahli-ahli Jaksa Pelawat Jabatan Penjara, Penghulu-penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampong dan Jemputan-jemputan Khas lain.


UCAPAN TETAMU KEHORMAT

YANG BERHORMAT

PEHIN ORANG KAYA SERI KERNA DATO SERI SETIA

[DR] HAJI AWANG ABU BAKAR BIN HAJI APONG

MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI

SEMPENA

MAJLIS UPACARA PERBARISAN KEHORMATAN

HARI PENUBUHAN JABATAN PENJARA KE-65 TAHUN, 2019

BERTEMPAT DI

PADANG KAWAD, PUSAT LATIHAN

JABATAN PENJARA

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الْمُرْسَلِينَ،

وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَمَنِ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ

إِلَى يَوْمِ الدِّينِ

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Yang Mulia,

Awang Haji Md A'isamuddin Bin Abdullah Juna, Pemangku Pengarah Penjara,

Selaku Pengerusi Majlis pagi ini;

Yang Behormat,

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara;

Yang Mulia,

Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap,

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri;

Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan dan Kakitangan dan Para Jemputan serta hadirin yang dihormati sekalian.

1.   Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua, kita dapat sama-sama berhimpun pada pagi ini dalam "Upacara Perbarisan Kehormatan Sempena Hari Ulangtahun Penubuhan Jabatan Penjara Yang Ke 65 Tahun".

2.   Saya sukacita merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Pemangku Pengarah Penjara dan semua warga Jabatan Penjara sempena sambutan ulang tahun penubuhan Jabatan Penjara yang ke 65 tahun. Jabatan Penjara sebagai Agensi yang memelihara kesejahteraan banduan atau penghuninya secara terkawal dan berperikemanusiaan, juga berperanan menyediakan program-program pemulihan yang baik dan bermanfaat agar penghuni-penghuni penjara dapat kembali memulakan penghidupan baharu dalam masyarakat sebagai warganegara yang berguna dan bertanggungjawab.  Jabatan Penjara berperanan untuk membentuk insan yang produktif melalui program pemulihan dan kaedah yang efektif, persekitaran yang kondusif dan pengintegrasian yang strategik.

3.   Sehubungan ini, adalah mustahak bagi para pemimpin dan seluruh warga Jabatan Penjara terus mengamalkan kerja berpasukan di dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan dan berganding bahu dengan Agensi-Agensi Penguatkuasa yang lain dalam menegakkan sistem keadilan jenayah dan pemulihan banduan di Negara ini.

4.   Negara Brunei Darussalam semakin membangun dengan pesatnya. Kita menghadapi perubahan dan cabaran dari kemajuan dalam berbagai aspek termasuk teknologi komunikasi.  Yang demikian jenis jenayah sekarang sudah berkembang dan berubah. Lanskap keselamatan sentiasa bergolak dengan bertambahnya isu-isu sosial mengikut corak yang berlainan.  Kita perlu menghadapi cabaran ini dengan bijaksana mengujudkan sebuah institusi yang lebih berwibawa dan bertanggungjawab. Kita memerlukan warga Jabatan Penjara untuk mengamalkan perubahan minda (change of mindset) dan mencari pendekatan baru (new approaches) untuk terus mempertingkatkan usaha dalam perlaksanaan peranan dan fungsi termasuk menjalankan program pemulihan dari segi fizikal, psikologikal, sosial, pendidikan dan spiritual. 

5.   Jabatan Penjara sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah berusaha melaksanakan beberapa inisiatif penambahbaikan dan pembaharuan yang sejajar dengan tuntutan pelan dan nilai-nilai utama dalam Perancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat yang seimbang.

6.   Menurut sasaran Key Performance Indicator Jabatan Penjara bagi tahun 2020, Jabatan ini berhasrat untuk mencapai kadar kemasukan semula bekas penghuni penjara sebanyak 15 peratus pada tahun 2020. Dari statistik residivis yang direkodkan sejak 2015, jumlah banduan yang telah bebas pada tahun 2015 telah menunjukkan penurunan positif dari segi kemasukan semula ke penjara iaitu 15.73% dimana hampir mencapai sasaran KPI Jabatan. Manakala statistik residivis bagi jumlah banduan yang dibebaskan pada 2016 telah menunjukan kadar kemasukan semula sebanyak 9.69% bagi perkumpulan tersebut. Dibanding dengan kadar kemasukan semula di institusi-institusi penjara diluar negara, kadar yang dilaporkan ini adalah diantara yang terendah.  Alhamdullilah, ini adalah satu bukti yang menunjukkan bahawa program pemulihan yang dilaksanakan di Jabatan Penjara telah memberikan impak yang positif kepada bekas penghuni-penghuni.

7.   Bagaimanapun, kita juga menyedari bahawa kejayaan program pemulihan yang dijalani oleh penghuni-penghuni penjara dan bekas penghuni tidaklah akan dapat dicapai sepenuhnya dan bertahan lama jika tidak ada sokongan dan kerjasama dari pihak masyarakat umum. Dengan adanya penglibatan, sokongan, komitmen dan kerjasama yang padu dari segenap lapisan masyarakat, Insya Allah, program-program perkhidmatan seliaan (Aftercare) yang diberikan kepada bekas penghuni penjara akan memperolehi kejayaan yang berpanjangan.

8.   Ke arah itu, Jabatan Penjara perlu sentiasa berusaha menjayakan program-program pemulihan dan seliaan, terutamanya proses reintegrasi bekas penghuni penjara melalui sokongan daripada pihak-pihak yang berkepentingan (stake holders) seperti agensi kerajaan, sektor swasta,     badan-badan sukarelawan,    pertubuhan  bukan   kerajaan  (NGO's), Ahli-Ahli Majlis Perundingan  Mukim dan Kampung Kampung dan yang lain-lain dalam sama-sama berganding bahu menggerakkan program-program pemulihan dan seliaan supaya bekas banduan dapat kembali ke pangkuan masyarakat.  

9.      Alhamdulillah, kita juga melihat akan peningkatan Whole of Nation Approach di dalam sama-sama membantu pemulihan penghuni-penghuni Penjara dengan penglibatan pihak-pihak NGO's dan swasta dalam program-program pemulihan dan juga reintegrasi dengan menyediakan peluang-peluang kemahiran lanjutan atau pekerjaan yang bersesuaian.

10.      Pada tahun lepas, beberapa syarikat swasta seperti RH Amanina, Riza Group dan Seantaro Services telah berkolaborasi dalam Program Rakan Seliaan dengan menyediakan penempatan kerja dalam bidang sektor perusahaan yang bersesuaian yang akan dapat membantu mereka mendapat pekerjaan dan sumber pendapatan serta mampu berdikari dan turut menyumbang kepada ekonomi Negara. 

11.   Sehubungan dengan itu, saya sukacita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua agensi-agensi rakan seliaan yang telah menggabungkan diri sebagai Jawatankuasa Aftercare Brunei Darussalam dalam melaksanakan program-program pemulihan. Dengan penubuhan Jawatankuasa ini, saya berharap program pemulihan akan lebih tersusun dan terarah serta memberi impak.

Para hadirin sekalian,

12.  Usaha dan komitmen Jabatan Penjara dalam sama-sama menangani isu-isu sosial di Negara ini sangat dihargai dan kepercayaan masyarakat terhadap peranan Jabatan Penjara juga perlu dikekalkan sebagai sebuah institusi pemulihan yang cemerlang sepertimana yang dihasratkan dalam visi Jabatan.

13.   Disamping kejayaan Jabatan Penjara dalam beberapa rancangan yang dilaksanakannya, saya merasa dukacita dengan penglibatan kakitangan penjara dalam kes-kes kesalahan kebelakangan ini. Menurut maklumat yang terkumpul bermula dari tahun 2014 sehingga 2018, seramai sebelas (11) pegawai dan kakitangan dari Jabatan ini telah dikenakan tindakan tatatertib, yang antaranya disebabkan kes penyalahgunaan dadah, kes jenayah syariah dan juga kes rasuah. Perbuatan dan perilaku segelintir kakitangan tersebut sangat mengecewakan.  Saya percaya majoriti pegawai dan kakitangan Jabatan ini juga merasa dukacita dengan sikap dan penglibatan rakan sejawat mereka dalam kegiatan yang boleh menjejaskan nama and imej baik Jabatan Penjara.

14.   Tindakan tatatertib telah diambil kepada mereka yang terlibat termasuk menamatkan perkhidmatan mereka. Ianya bukan sahaja akan menghilangkan sumber pendapatan untuk menyara diri dan keluarga malah menjejaskan masa depan mereka, menjejaskan kredibiliti individu berkenaan sebagai ahli masyarakat dan juga kredibiliti Jabatan Penjara.

15.   Saya ingin mengingatkan kepada semua anggota Jabatan Penjara untuk memelihara kesejahteraan anggota Jabatan Penjara dengan sebaiknya dan terus memberikan khidmat yang cemerlang yang berterusan sehinggalah ke tarikh persaraan.

16.    Kearah mencapai perkidmatan kepenjaraan yang cemerlang, kita memerlukan anggota yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran tertentu serta mengamalkan rukun akhlak dan etika kerja yang positif seperti integriti, amanah, cekap, sabar, berilmu dan mentaati ajaran ugama Islam. Nilai-nilai atau ciri-ciri positif seseorang anggota itu akan menentukan sumbangannya terhadap jabatan. Seorang anggota yang mempunyai kepakaran dan kemahiran sahaja tanpa nilai-nilai yang positif pada dirinya tidak akan memberi manfaat kepada jabatan. Seorang anggota yang berintegriti akan dapat mengikis sikap mementingkan diri sendiri dan sentiasa patuh kepada setiap arahan yang ditetapkan. Justeru itu, integriti bukan sahaja diukur dari tidak melibatkan diri dengan gejala rasuah, jenayah dan penyalahgunaan kuasa, tetapi merangkumi kesanggupan anggota untuk memikul tanggungjawab tanpa mengira masa, tenaga dan tempat.

17.    Dalam menangani masalah pegawai dan kakitangan  yang menghadapi sebarang tekanan kerja dan kehidupan yang boleh sahaja membawa kepada sikap dan perilaku negatif, saya dimaklumkan bahawa Bahagian Kaunseling Penjara  telah meluaskan skop perkhidmatannya meliputi warga jabatan yang memerlukan perkhidmatan kaunseling secara dirujuk atau sukarela. Dengan memperluaskan skop perkhidmatan kaunseling kepada warga jabatan ini, ia diharap  akan dapat membantu mereka mendapatkan khidmat professional yang terbaik dalam menangani isu-isu semasa yang dihadapi. Dengan usaha ini, jelas menunjukkan bahawa Jabatan Penjara mengambil langkah ke hadapan untuk menjana perubahan yang lebih positif demi kesejahteraan pegawai dan kakitangan supaya mereka tidak mudah dipengaruhi dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat atau melanggar undang-undang negara.  

18.    Selain dari itu, bagi mempastikan terdapat kesinambungan kepimpinan dan keanggotaan yang berkualiti, rancangan penggantian organisasi adalah amat penting. Rancangan penggantian yang berkesan adalah bergantung kepada kualiti pengambilan keanggotaan, latihan, rancangan kemajuan tenaga manusia, skim perkhidmatan yang mapan dan kemajuan kerjaya berasaskan merit dan pengurusan tenaga keanggotaan yang telus. 

19.         Saya sekali lagi ingin menasihatkan dan menekankan bahawa organisasi yang dianggotai oleh individu yang cemerlang akan menjadi organisasi yang cemerlang, seterusnya terbilang dan dihormati. Semua anggota Jabatan Penjara hendaklah mengamalkan sikap berdisplin dan berintegriti dengan sama-sama mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan am perkhidmatan awam serta mematuhi ajaran-ajaran ugama Islam. Oleh itu, amalan-amalan yang tidak produktif dan apa jua perkara yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan jabatan keseluruhannya hendaklah dikikis.

Para hadirin sekalian,

20.     Pada majlis ini juga nanti, kita akan menyaksikan penganugerahan "Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Penjara Sesi 2018" kepada beberapa orang anggota penjara terpilih yang telah dapat mempamerkan prestasi kerja yang cemerlang secara berterusan. Alhamdulillah, pencalonan dan pilihan pegawai-pegawai cemerlang bagi sesi 2018 ini menunjukkan bahawa disebalik segelintir pegawai yang terlibat dengan kegiatan yang salah, terdapat ramai lagi pegawai dan kakitangan masih berusaha dengan tekun dan gigih dalam memartabatkan Jabatan ini ke satu tahap yang lebih tinggi.

21.    Saya juga berharap dan menggalakkan supaya semua warga Jabatan Penjara akan terus berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan masing-masing dalam membantu memperkembangkan pengurusan untuk lebih dinamik dan berkesan disamping menjaga disiplin untuk menjaga baik nama Jabatan. Dalam pada itu, setiap anggota haruslah bersyukur dan berterima kasih di atas segala sokongan dan keprihatinan pihak kerajaan dengan memastikan setiap amanah yang diberikan dapat kita laksanakan dengan baik dan penuh integriti.

22.     Akhirnya saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Pengelola kerana mengungkayahkan majlis ini.  Ucapkan tahniah dan syabas kepada pegawai-pegawai dan anggota penjara yang bakal meneriman penganugerahan sebagai "Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Penjara 2019".

23.     Selamat Menyambut Hari Penubuhan Jabatan Penjara ke-65 tahun dan semoga segala usaha, pengorbanan dan niat suci abis Awang-Awang/Dayang-Dayang itu akan sentiasa mendapat keberkatan dan ganjarannya daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua, Amin.

 

Amin Ya Rabbal 'Alamiin

 

Sekian

                            

وباهلل التوفيق والهداية والسالم عميكم ورحمة اهلل وبركاته


IMG_3217.JPG

DSC_8090-2.jpg

 

 


Created at 01/03/2019 21:41 by Hj Ahmad Mohammad Bin Junaidi
Last modified at 02/03/2019 14:00 by Kartini Binti Yakub