Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

22 September 2018 - Sidang Media Mengenai Skim Penghulu Mukim dan Ketua Kampung

Logo Panji Panji.png

1.      Bandar Seri Begawan, Sabtu, 22 September 2018– Satu sidang media Mengenai Dengan Skim Terkini Perkhidmatan Penghulu Mukim Dan Ketua Kampung Dan Seterusnya Pengisian Jawatan-Jawatan Penghulu Mukim Dan Ketua Kampung Seluruh Negara telah diadakan pada pagi ini 12 Muharam 1440 H bersamaan 22 September 2018 M, di Dewan Serbaguna Tingkat 6 Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

 

2.      Hadir bagi mempengerusikan sidang media tersebut ialah Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

 

3.      Pengerusi menerangkan bahawa Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sukacita menyusul mengenai permakluman yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam sesi Muzakarah bersama Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Temburong pada 15 September 2018 mengenai Hal Ehwal Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung.

 

4.      Sehubungan dengan perkembangan terbaru ini pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan melaksanakan Proses Pengisian kekosongan Jawatan ini secara berfasa dimulakan dengan pengiklanan jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung pada 1hb Oktober 2018.

 

5.      Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sukacita mengalu-alukan Penghulu Mukim atau Ketua Kampung yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan untuk memohon bagi dicalonkan semula atau mana-mana penduduk mukim dan kampung yang berminat menjadi Penghulu Mukim atau Ketua Kampung supaya akan mengambil peluang untuk dicalonkan sebagai Penghulu Mukim atau Ketua Kampung dengan syarat calon adalah memenuhi syarat-syarat kelayakan bagi jawatan berkenaan.

 

6.      Pengerusi juga menerangkan mengenai Syarat-Syarat Kelayakan bagi memohon pencalonan bagi jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung serta tingkatan Jawatan-Jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung mengikut skim perkhidmatan tersebut.

 

7.      Manakala Timbalan Setiauasaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Mulia Awang Abdul Walid bin Haji Matassan turut menghuraikan mengenai Peranan, Tugas dan Tanggungjawab Penghulu Mukim dan Ketua Kampung serta tatacara permohonan skim tersebut.

 

8.      Yang Mulia, Awang Abdul Walid menyatakan kekosongan Jawatan-Jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung ini akan diiklankan melalui Akhbar Rasmi Kerajaan iaitu Pelita Brunei serta di dalam akhbar-akhbar tempatan pada 1hb Oktober 2018 ini nanti.

 

9.      Bagi orang ramai yang berminat untuk menghadapkan pencalonan bolehlah mendapatkan Borang Pencalonan di Jabatan-Jabatan Daerah masing-masing. Borang hendaklah diisikan dengan lengkap dan dikembalikan semula ke Jabatan-Jabatan Daerah masing-masing tidak lewat pada 31hb Oktober 2018.

 

10.  Kementerian ini juga ingin memaklumkan bahawa terdapat beberapa kampung yang dikecualikan dari pengiklanan. Kampung-kampung yang dikecualikan adalah:-

 

    1. Kampung yang jawatan Ketua Kampungnya tamat perkhidmatan selepas 22 Jun 2019;
    2. Kampung yang Ketua Kampungnya dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negara;
    3. Kampung yang jawatan Ketua Kampungnya diiklankan dan tutup iklan sebelum 01 April 2018 (seperti Jawatan Ketua Kampung Amo, Ketua Kampung Bokok, Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Sungai Buloh (Bukit Sibanging), Penghulu Mukim Mentiri & Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara Panchor, Mukim Mentiri.

 

11.  Keterangan lanjut mengenai Jawatan-Jawatan Kosong di Mukim dan Kampung yang berkenaan, bolehlah berhubung dengan Unit Institusi Mukim dan Kampung di Jabatan-Jabatan Daerah Masing-Masing.

 

12.  Dalam masa yang sama, Kementerian ini akan secara berterusan melaksanakan beberapa strategi termasuk pemberigaan melalui media-media masa. Sementara itu juga, Muzakarah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri akan diteruskan lagi ke Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan juga Daerah Belait bermula minggu hadapan.

 

13.  Manakala Jerayawara mengenai dengan Skim terkini Perkhidmatan Penghulu Mukim Dan Ketua Kampung dan seterusnya pengisian jawatan-jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung seluruh Negara akan diadakan di ke empat-empat Daerah. Jerayawara tersebut akan dimulakan dengan Daerah Brunei dan Muara pada 1hb Oktober 2018, diikuti dengan Daerah Belait pada 2hb Oktober 2018, Daerah Tutong pada 3hb Oktober 2018 dan Daerah Temburong pada 4hb Oktober 2018.

 

14.  Sidang Media diakhiri dengan sesi Soal Jawab.

 

15.  Hadir sama pada Sidang Media ialah, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pegawai-Pegawai Daerah, Pemangku Pegawai-Pegawai Daerah, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan para jemputan media.

-Tamat-


Created at 02/10/2018 11:43 by Zulkarnain Bin Osman
Last modified at 03/10/2018 09:47 by Nusratina Binti Hj Md Daud