Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

LATIHAN FULL DRESS REHEARSAL BAGI MAJLIS RAMAH MESRA DAN JUNJUNG ZIARAH BERSAMA RAKYAT SERTA PENDUDUK DAERAH TUTONG SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN ULANG TAHUN KEPUTERAAN YANG KE-72 TAHUN 2018

panji.gif

TUTONG, Khamis, 12 Julai 2018. – Persiapan bagi menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat Serta Penduduk Daerah Tutong sedang giat dilaksanakan.
 
Pada hari ini Latihan Penuh Full Dress Rehearsal telah diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.  Hadir menyaksikan latihan berkenaan ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-72 Tahun bagi Tahun 2018.

Konsep Persembahan Khas bagi Daerah Tutong pada tahun ini mempersembahkan satu persembahan yang berwarna-warni bertemakan "Raja Unggul Negara Gemilang". Persembahan Khas berkenaan melibatkan seramai 272 orang peserta yang terdiri daripada kumpulan wakil-wakil daripada kakitangan agensi-agensi Kerajaan di Daerah Tutong, penuntut-penuntut sekolah menengah dan rendah Daerah Tutong, Puak dan Masyarakat Daerah Tutong, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta belia-belia dan Sukarelawan Daerah Tutong.
 
Persembahan khas kali ini dimuatkan dengan persembahan tarian, nyanyian dan gerak laku kombat yang antara lain menggambarkan keperibadian generasi belia negara ini yang aktif, ceria, kreatif dan disemai dengan semangat berpasukan yang tinggi bagi mewujudkan generasi harapan ke arah mencapai wawasan Raja dan Negara.
 
Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama rakyat dan penduduk di Daerah Tutong akan diadakan pada hari Khamis, 6 Zulkaedah 1439 Hijrah bersamaan 19 Julai 2018 Masehi di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Tutong.
 
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk sama-sama hadir dan diseru untuk mengambil peluang ini bagi memeriahkan lagi majlis tersebut disamping menzahirkan ketaat setiaan rakyat kepada Raja yang disayangi, dikasihi dan dicintai.
 
Turut hadir ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah)  Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Mulia Awang Ajman bin Haji Meludin, Yang Mulia Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Mulia Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, Pegawai Daerah Tutong selaku Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Daerah Tutong Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke 72 Tahun Bagi Tahun 2018 serta ahli-ahli jawatankuasa tersebut. 
Created at 12/07/2018 13:04 by Hj Mohd Nornasronsyah bin Hj Kamal Pasah
Last modified at 12/07/2018 13:04 by Hj Mohd Nornasronsyah bin Hj Kamal Pasah